feedburner

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Kenapa perlu ada insurance? cara membayar bil hospital

Labels: , , ,


Parah bil hospital
Oleh Zuraidah Mohamed

zmohamed@bharian.com.my
2010/11/22

Ramai hutang kad kredit, bank untuk jelas kos perubatan swasta tinggi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu.

Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman.

Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar.

“Setakat Oktober lalu, 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman langsung bank atau kad kredit yang dirujuk kepada AKPK adalah perbelanjaan perubatan tinggi disebabkan kos sara hidup semakin meningkat.


“Penggunaan kad kredit tidak terkawal tidak lagi menjadi faktor utama kegagalan seperti pada dua atau tiga tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, selain kos perubatan tinggi, punca lain yang dirujuk kepada agensi itu ialah kelemahan pengurusan kewangan (25 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus), kehilangan pekerjaan (12 peratus), manakala dua peratus akibat kegagalan pelaburan.


Penggunaan kad kredit tidak terkawal pula, katanya, hanya mewakili 15 peratus.
Katanya, hampir 70 peratus kes gagal membayar balik pinjaman itu adalah membabitkan penggunaan kad kredit, manakala 30 peratus lagi pinjaman peribadi serta sewa beli.

Daripada RM4.8 bilion NPL yang diuruskan AKPK ketika ini, Mohamed Akwal berkata, RM2 bilion membabitkan pinjaman perumahan diikuti kad kredit (RM1.1 bilion) serta sewa beli sebanyak RM713 juta.

Katanya, jumlah itu membabitkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 135,805 individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta khidmat nasihat berhubung pengurusan kredit.

Beliau berkata, tahun ini saja 25,353 individu memohon khidmat nasihat serta bantuan AKPK dan hanya 13,017 dirujuk kepada program PPK, antaranya bagi penstrukturan semula pinjaman.

Bagaimanapun tahun lalu, katanya, 36,848 individu tampil dan 16,184 daripadanya mengikuti program berkenaan.

“Tahun lalu, lebih ramai mendapatkan bantuan daripada AKPK kerana krisis ekonomi yang melanda. Namun, mulai Oktober tahun lalu, keadaan ekonomi mula pulih. Pengurangan individu ini menunjukkan keadaan ekonomi kita semakin baik dan mereka juga ke arah pengurusan kewangan yang baik,” katanya.

Setakat Oktober lalu, sebanyak 423 kes membabitkan pinjaman berjumlah kira-kira RM12 juta berjaya diselesaikan AKPK, berbanding 143 kes dengan jumlah pinjaman RM3.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Kami menyelesaikan kira-kira 40 kes sebulan bayaran balik pinjaman kepada bank kerana kebanyakan yang mengikuti PPK sudah mampu menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh maksimum 10 tahun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

Katanya, AKPK yang ditubuhkan sejak April 2006 setakat ini menganjurkan lebih 520 taklimat berhubung pengurusan kredit di seluruh negara.








0 comments:

Post a Comment